Tuesday, February 28, 2012

Makan sampai hadam, baca sampai faham

Kerapkali saya meluat bila mana melihat komen dan post-post yang wujud di 'wall' Facebook yang ditulis oleh mereka-mereka yang kononnya bijak pandai. Isu yang sedang panas di pasaran pada masa kini biasanya berkisar pasal kilang Lynas, kes khalwat dengan bini orang, dan yang paling 'ngetop' sekali adalah kes liwat.

Jujurnya, rakyat Malaysia memang prihatin, sangat prihatin sehingga boleh dikategorikan sebagai 'menjaga kain orang lain'. Semua hal dan perkara yang berlaku di Malaysia kalau boleh mahu dikomennya. Tak salah kalau nak letak komen, tapi seelok-eloknya fahamilah dahulu cerita yang sebenarnya kemudian barulah komen sepuas-puasnya.

Saya bagi satu contoh, bayangkan kalau ada berlaku satu kejadian kecurian pasir di satu-satu negeri ni. Pihak polis belum pun selesai membuat siasatan kejadian, pihak SPRM pun belum lagi selesai menyoal siasat saspek-saspek terpilih tapi kebanyakan rakyat kita sudah pun buat kesimpulan kes dan pesalah-pesalahnya siap dengan jatuh hukuman lagi!

Kalau cerita pasal kilang Lynas ni, saya belum berani untuk buat kesimpulan. Tetapi daripada apa yang saya baca, google, selidiki, siasat, temubual dan ujikaji berkaitan Lynas dan nadir bumi ini, saya tidak nampak kemudaratan yang teruk seperti yang disebut-sebut oleh pihak yang membangkang kilang Lynas ini. 

Masalah mungkin akan timbul hanya selepas beberapa tahun, tapi itupun bukanlah sampai tahap rakyat Kuantan bakal bertukar menjadi mutasi raksasa hodoh pula. Paling kuat pun mungkin ada pencemaran udara dek kerana asap kilang ini. Tapi bukankah kilang-kilang kat Malaysia ni memang kuat keluarkan asap hitam yang mencemarkan udara? Cuba tengok kilang sawit di Kuantan dan kilang memproses getah di Bentong.

Terutamanya kilang-kilang yang beroperasi bersebelahan Highway KESAS. Kilang apa saya tidak pasti dan mungkin tidak ramai yang perasan. Sebab pelepasan asap di buat pada waktu malam dan baunya menusuk masuk ke dalam kereta walaupun cermin kereta tertutup rapat.

Kalau bercakap pasal radiasi pula, menara telekomunikasi milik Celcom, Maxis dan Digi yang berlambak di Malaysia itu sebenarnya lebih teruk memberikan kesan radiasi kepada persekitarannya. Kenapa tiada demonstrasi membantahnya?

Oleh yang sedemikian sebelum kalian dicop sebagai tidak prihatin dan bodoh, maka saya menyarankan agar buatlah bacaan ilmiah yang mencukupi sebelum meletakkan komen-komen di Facebook yang sebenarnya mencerminkan status pemikiran sempit masing-masing.
Share: