Tuesday, February 21, 2012

Tukar tayar di Lebuhraya Karak

Kadangkala persiapan yang kita buat walaupun cukup pada firasat kita, pasti masih ada cacat celanya. Kita tak boleh menentukan apa yang akan berlaku, kita hanya boleh merancang. Ini namanya Qada' dan Qadar.

Perkara ini saya alami malam tadi semasa dalam perjalanan pulang seorang diri ke Raub untuk bertugas selepas berhujung minggu bersama keluarga di Klang.

Ketika sedang berhujung minggu, saya diserang demam. Terpaksa ambil MC pada hari Isnin dan terpaksa pulang ke Raub pada malamnya. Badan saya masih lagi belum kebah daripada demam selsema, tetapi saya tetap meneruskan perjalanan.

Ketika di Lebuhraya Karak, tayar belakang pula bocor. Jam menunjukkan tepat jam 12 malam. Terfikir pula di fikiran.
"takda waktu lain ke nak tayar ni nak bocor?"
"ada angin ke tayar spare?"
"tools ni cukup ke?"
"kalau tahan orang kat tepi highway malam-malam ni, ada ke yang nak berenti?"
Mujurlah kereta saya bocor tu dah dekat dengan stesen minyak Petronas, bolehlah juga saya pergi mendapatkan pertolongan andaikata  diperlukan nanti. Peralatan pula mencukupi, jadi tak perlulah mengemis bantuan orang lain.

Dengan badan yang masih lemah dek kerana demam yang belum baik, dan ditambah dengan kegelapan malam serta perasaan marah yang membuak-buak saya pun menukar tayar yang pancit tersebut.

Rupa-rupanya tayar tu terkena paku dan terus koyak. Memang tak sempat nak buat apa-apa. Waktu-waktu begini memang dah tak terfikir perasaan takut, sebabnya perasaan marah terlalu menguasai diri. 


Selepas setengah jam, saya meneruskan perjalanan. Syukur pada Tuhan kerana memberikan saya pengalaman yang sangat mahal ini.
Share: