Thursday, February 6, 2014

Pengalaman Mencari Lokan

Aku berkesempatan pergi mencari lokan di Merlimau, Melaka pada minggu lepas. Memang aku cuma tahu rupa lokan sahaja tapi tak tahu macam mana diorang cari benda ni.

Semangkuk lokan


Yang menariknya aku bukan pergi seorang diri, tapi aku sekeluarga dan juga adik-beradik berkumpul beramai-ramai untuk aktiviti ni. Kami semua berkumpul di rumah abang aku di Kg Air Tawar, Merlimau dan bergerak pada waktu pagi ke kawasan paya bakau yang menjadi tempat mencari lokan ni.

Masuk paya bakau nak cari lokan


Mujurlah waktu pagi ni air laut surut, maka senanglah sikit nak mencari lokan ni. Kalau air laut dah pasang memang takde orang yang pergi masuk hutan bakau ni.

Satu kesilapan amatur yang orang macam aku buat adalah tidak pakai kasut yang sesuai, akibatnya kasut hilang sebab dah tenggelam dalam lumpur dan akhirnya tak dapat diselamatkan. Maknanya sepanjang aktiviti tersebut aku cuma berkaki ayam. Bayangkan berkaki ayam sambil cari lokan dalam hutan bakau. Hahahaha!

Pokok bakau ni jaraknya sesam pokok yang lain sangat rapat, kalau jarak antara kita dengan orang lain sejauh 5 meter pun dah hilang dari pandangan. Sebab tu lah sambil mencari lokan ni kami panggil-panggil orang lain sebab nak pastikan kedudukan masing-masing.

Ini video yang sempat aku rakamkan.


Kalau terleka cari lokan ni, silap-silap boleh konfius arah mana nak dituju. Kena selalu pandang kiri kanan dan juga matahari sebab nak tahu arah nak balik. Kalau air dah pasang nanti, takut tak jumpa jalan keluar pulak. Dah kena jemput anggota bomba Merlimau pulak nak cari korang dalam paya bakau ni.

sesak dengan bakau


Pengalaman untuk aku ni memang seronok, sebabnya dapat bergelumang cari lokan dalam lumpur sambil mengumpil tanah paya yang separuh basah ni. Dapat jugalah anak aku berpeluang mencari pengalaman yang aku tak pernah rasa seumur hidup aku. 

Ada 2 lokan dalam lumpur


Ditemani dengan adik ipar abang aku yang memang pakar mencari lokan ni, dapatlah kami kumpul dalam seguni lokan. Itu pun selepas dicampur hasil pencarian semua orang lah. Kalau dah pakar tu sambil jalan je dah kenal rupa lokan tu, aku ni sudah cari sambil mencangkung pun masih tak nampak-nampak walaupun lokan tu ada dah depan mata. 

lokan segar dari merlimau


Penat juga sebab lama sangat menunduk-nunduk sampai sakit jugalah belakang badan. Tapi berbaloi sebab seronok dapat buat aktiviti ni bersama-sama dengan ahli keluarga yang lain.

Lokan ni rupa bentuknya hampir sama macam kepah, dan apa juga masakan yang korang buat dengan kepah maka dengan lokan pun sama juga. Cuma saiz lokan ni lagi besar la aku rasa.

Lokan masak pedas



Share: